22 FEB: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein disahkan positif COVID-19 dan akan menjalani tempoh isolati mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan (KKM).
Pejabat Menteri Kanan Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan Hishammuddin sudah menerima dos penggalak dan sering menjalani ujian pengesanan COVID-19 jenis RT-PCR secara berkala.
“Beliau juga kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri melalui kaedah RTK Antigen.
“Kali terakhir beliau menjalani ujian pengesanan RT-PCR dan mendapat keputusan negatif COVID-19 ialah pada 18 Februari lalu,” kata kenyataan itu.
Hishammuddin akan terus memantau dan menjalankan tugas-tugasnya yang sesuai dilaksanakan sepanjang tempoh isolasi.
“Marilah kita sama-sama mendoakan semoga beliau dan setiap individu yang dijangkiti wabak COVID-19 ketika ini segera dikurniakan kesembuhan oleh Allah SWT, seterusnya dapat kembali menjalani rutin harian seperti sediakala. Insya-Allah,” menurut kenyataan itu.