Projek LSS3: Syarikat tempatan diberi keutamaan
15 JULAI: Syarikat-syarikat tempatan diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek Large Scale Solar pakej ketiga (LSS3) yang kini masih dalam peringkat bidaan.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu membuktikan kerajaan percaya dengan keupayaan syarikat tempatan.
Menurut beliau, matlamat kerajaan adalah memastikan sektor tenaga di negara ini terus lestari dan mampan dalam usaha memulihkan dan merancakkan ekonomi pasca COVID-19 melalui penawaran kuota solar 100 megawatt.
“Kita hanya buka 100 peratus peluang kepada syarikat tempatan manakala syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia perlu mempunyai 70 peratus pegangan tempatan.
“Ia akan mewujudkan tidak kurang 12,000 peluang pekerjaan baharu dan melalui pakej ini sekurang-kurangnya 25 syarikat tempatan diberi peluang,” katanya semasa sesi soal jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Shamsul Anuar menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Jempol, Datuk Salim Sharif yang bertanya tentang perbezaan antara LSS 3 dan LSS@MeNTARI.
Semantara itu, bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BEBAS Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah, beliau memberitahu, kejatuhan harga panel solar di pasaran ketika ini akan mendorong syarikat-syarikat menawarkan harga bidaan yang terbaik.
“Kita akan pastikan industri solar negara terus kompetitif,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN