24 FEB : Kejadian letupan dan kebakaran sebuah kilang petrokimia di Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat petang tadi mengejutkan penduduk di sekitar Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor hari ini.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Abdul Rahman Azezulkifle Sahimi, pihaknya menerima laporan insiden berkenaan kira-kira jam 5.16 petang.
“Dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dan Johor Jaya segera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik laporan diterima.
“Tindakan kawalan dan pemadaman sedang dilakukan sehingga kini,” jelasnya.
Media negara jiran, CNA juga berkongsi gambar serta rakaman video kejadian berkenaan di mana warga Singapura terutama yang tinggal di Pasir Ris dan Punggol, yang dapat melihat asap tebal dan api yang terhasil daripada letupan berkenaan dengan jelas.