26 FEB : Keberanian Barisan Nasional (BN) meletakkan 70 peratus calon baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menunjukkan betapa BN mementingkan perubahan demi memastikan kemenangan, sekali gus dapat menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang stabil.
Sehubungan itu, Wanita BN menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) di atas kepercayaan meletakkan calon-calon baharu, termasuk di kalangan wanita untuk mewakili gabungan ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Wanitanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan ini juga selari dengan tema kempen Barisan Nasional pada kali ini iaitu untuk memastikan Kestabilan Masa Depan.
“Sudah semestinya, Wanita Barisan Nasional akan memberi komitmen penuh untuk memastikan kemenangan bukan sahaja calon wanita, tetapi semua calon Barisan Nasional yang bertanding. Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Beliau mendoakan agar BN yang sentiasa komited dengan perjuangan demi rakyat akan mendapat sentiasa mendapat rahmat dan memperolehi kemenangan pada PRN Johor pada 12 Mac ini.