27 FEB: Sebanyak 109 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Terengganu dan Kelantan yang menempatkan 7,745 mangsa banjir daripada 1,820 keluarga, setakat jam 8 malam tadi.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kenyataan, hari ini berkata sebanyak 77 PPS beroperasi di Terengganu, manakala selebihnya 32 PPS beroperasi di Kelantan.
“Pihak JKM mengedarkan bantuan makanan bermasak dan barang keperluan asas kepada semua mangsa bencana yang berada di PPS.
“Keadaan pada masa ini terkawal dan bekalan makanan juga mencukupi,” katanya yang telah mengerakkan petugasnya di kawasan yang terkesan.
Kenyataan itu turut mengingatkan semua mangsa dan petugas di PPS supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Orang ramai yang terbabit dalam bencana banjir juga dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke tempat yang selamat,” katanya.
Katanya, tanggungjawab JKM untuk membantu mangsa banjir dan pengurusan bencana dilaksanakan berdasarkan arahan No.20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20).
“JKM dipertanggungjawab menyedia dan menyelenggara PPS untuk mangsa bencana serta menyedia serta mengedarkan bantuan makanan, pakaian dan keperluan asas kepada mangsa bencana di PPS.
“Selain itu, JKM turut menguruskan pendaftaran mangsa bencana dan memberi bimbingan dan nasihat atau kaunseling kepada mereka,” katanya.
Disamping itu, katanya data statistik mangsa bencana yang berpindah ke PPS di seluruh negara boleh disemak menerusi sistem Infobencana JKM 2.0 yang dibangunkan pihaknya dan segala maklumat dikemas kini empat jam sekali.
Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam dan Bilik Gerakan JKM yang boleh dilayari di portal www.jkm.gov.my.