28 FEB: Negara-negara Eropah termasuk Amerika Syarikat (AS) mula menghantar tentera, peralatan ketenteraan dan bantuan kemanusiaan ke Ukraine, sejak pencerobohan Russia Khamis lalu.
Sabtu lalu, Washington menghantar bantuan ketenteraan tambahan berjumlah AS$350 juta (RM1.47 bilion) kepada Kyiv, sekali gus menjadikan jumlah sokongannya kepada lebih satu bilion dolar sepanjang tahun lalu.
“Penghantaran ini termasuk bantuan pertahanan bagi membantu Ukraine menghadapi serangan perisai, udara dan lain-lain,” kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.
Semalam, Blinken mengumumkan AS$54 juta (RM226.8 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan baharu untuk dibelanjakan melalui badan bukan kerajaan (NGO).
Kanada pula menghantar senjata ketenteraan berbahaya ke Ukraine dan meminjamkan Kyiv setengah bilion dolar Kanada (AS$394 juta) untuk membantunya mempertahan diri.
Berlin melanggar pantang sekian lamanya untuk tidak mengeksport senjata ke zon konflik menerusi ikrar, membekalkan Ukraine 1,000 senjata antikereta kebal, 500 roket darat ke udara Stinger dan sembilan howitzer.
Jerman juga menyumbangkan 14 kenderaan perisai dan 10,000 tan bahan api.
Stockholm juga melanggar pendirian tidak berpihak (neutral) dengan menghantar 5,000 roket antikereta kebal ke Ukraine serta peralatan perang lain.
Ini kali pertama Sweden menghantar senjata ke negara dalam konflik bersenjata, sejak Kesatuan Soviet menyerang negara jiran Finland pada 1939.
Perancis yang sebelum ini menghantar bantuan, menghantar lebih banyak peralatan ketenteraan serta bahan api.
Paris berkata, mereka bertindak atas permintaan Ukraine sebelum ini, untuk pertahanan antipesawat dan senjata digital.
Belgium pula mengatakan pihaknya akan membekalkan Ukraine dengan 3,000 lagi senapang automatik dan 200 senjata antikereta kebal serta 3,800 tan bahan api.
Kementerian Pertahanan Belanda, berkata negaranya menghantar 200 pelancar roket Stinger, selepas menghantar senapang sniper dan topi keselamatan.
Ia memberi tambahan 20 juta euro (AS$ 22 juta atau RM92.4 juta) bantuan kemanusiaan yang sudah dijanjikan. – AFP