28 FEB : Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun menjadi korban ketiga banjir di Kelantan selepas ditemukan lemas di Kampung Kubang Kedepan dekat Banggol Kulim, di sini, jam 3.05 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, mangsa Hawari Khodir dipercayai terjatuh dan hilang dibawa arus di kawasan terbabit jam 7.15 malam, semalam.
“Polis menerima laporan berkaitan kejadian itu jam 11 pagi tadi. Mangsa dijumpai tidak jauh dari kawasannya terjatuh oleh sepasukan anggota mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat dan tindakan selanjutnya.
Semalam, dua mangsa lemas dilaporkan di Kelantan iaitu Mohamad Ishak, seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun dan Mohamad Fazli Tamri, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun. – BERNAMA