28 FEB : Naratif ‘kluster mahkamah’ yang digunakan untuk berkempen oleh segelintir pihak tidak akan menjejaskan peluang kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menafikan dakwaan kononnya semua kes mahkamah melibatkan pemimpin tertinggi UMNO akan digugurkan jika BN menang pada PRN Johor berkata, ia hanya naratif lama yang dikitar semula oleh pihak lawan.
“BN menang di PRN Melaka pun tidak memberi kesan kepada kes di mahkamah. Kalau kita menang di Johor, apa kena-mengena dengan kluster mahkamah?
“Adakah hakim akan ‘terpukau’ dengan kemenangan di Johor?” katanya selepas bertemu jentera BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap di Balai Islam Jalan Peladang di sini, hari ini.
Timbalan Presiden UMNO itu juga, berkata jentera BN kini menjalankan kajian sikap kedua bagi benar-benar mengenal pasti kehendak pengundi baharu di Johor.
Beliau berkata, langkah itu bagi pusat gerakan BN mengatur strategi untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan pengundi yang pertama kali mengundi.
Pengarah PRN Johor bagi BN itu mengakui sukar untuk menjangkakan emosi atau sikap pengundi kali pertama di Johor.
Mohamad turut mengingatkan jentera BN agar tidak mengambil mudah pengundi ‘putih.’
“Pasal pengundi putih, sebagai contoh kalau ibunya Ketua Wanita UMNO bahagian, tidak semestinya seluruh keluarga akan menyokong UMNO,”
katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac. – BERNAMA