1 MAC: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegur sikap menteri yang tidak mengendahkan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana ia boleh merencatkan perjalanan kerajaan Keluarga Malaysia.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) itu berkata tindakan tersebut berlaku semata- mata kerana menteri itu berlainan parti.
Katanya, rakyat telah menerima kerajaan Keluarga Malaysia dan ingin melihatnya berjalan dengan cemerlang, namun masih ada menteri yang tidak cakna dengan kehendak tersebut.
“Rakyat terima kerajaan keluarga Malaysia nak lihat prestasi cemerlang.
“Ada menteri-menteri tak begitu akur atau patuh pada arahan Perdana Menteri kerana dia parti lain, Perdana Menteri daripada UMNO.
“Surat daripada Perdana Menteri tak diambil peduli, saya ada bukti kukuh, arahan perdana menteri kadang-kadang diperap begitu saja,” kata Ahli Parlinen Pasir Salak itu ketika ditemui semalam.
Untuk rekod UMNO bersama PAS dan GPS membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas BERSATU dan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menarik sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) pada Feb 2020.
Bagaimanapun kerajaan PN tumbang pada Ogos tahun lalu, UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kemudiannya kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri dibentuk dengan sokongan ahli Parlimen BERSATU, PAS dan GPS.
Dalam pada itu Tajuddin merakamkan penghargaan kepada pembangkang kerana telah pun membantu dan sepakat dengan Perdana Menteri melalui memorandum yang telah dimeterai.
“Saya ucap tahniah kepada pembangkang kerana pembangkang telah pun membantu dan sepakat dengan Perdana Menteri untuk tumpukan kepada isu rakyat.
“Dia nak jadi pembangkang yang membina,” katanya.