1 MAC: Seramai 17,742 mangsa banjir dipindahkan ke 141 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu pagi ini membabitkan 4,557 keluarga.
Malam tadi, seramai 15,398 mangsa daripada 3,965 keluarga ditempatkan di 139 PPS.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi yang terjejas menerusi bah yang melanda Terengganu sejak Jumaat.
Ketika ini, seramai 8,027 mangsa daripada 2,055 keluarga berada di 27 PPS di Kemaman.
Di Hulu Terengganu, sebanyak 801 keluarga membabitkan 3,700 mangsa dipindahkan ke 21 PPS.
Mangsa banjir di Dungun kini direkodkan seramai 2,988 orang daripada 873 keluarga berada di 29 PPS.
Di Besut, sebanyak 242 keluarga membabitkan 908 mangsa ditempatkan di 26 PPS manakala 21 PPS masih dibuka di Setiu bagi menempatkan 848 mangsa daripada 252 keluarga.
Sembilan PPS diaktifkan di Kuala Terengganu dengan 728 mangsa daripada 188 keluarga masih berada di PPS berkenaan.
Di Kuala Nerus pula, seramai 538 mangsa yang terjejas dipindahkan ke tujuh PPS manakala di Marang, tiada pertambahan mangsa direkodkan dengan lima beranak berada di sebuah PPS.