15 JULAI: Adun Slim River, Datuk Khusairi Abdul talib disahkan meninggal dunia di Bentong ekoran serangan jantung sebentar tadi.
Beliau juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim.
Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di hospital bentong dan jenazah masih berada di hospital bentong bagi urusan untuk dibawa pulang ke Perak.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, Khusairi menang dengan majoriti 2,183 iaitu 8,327 menewaskan calon PKR Mohd Amran Ibrahim hanya mendapat undi 6,144 serta calon PAS Zulfadli Zainal dengan undian 4,103.
Arwah merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak dan bekas pengerusi FINAS.
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Khusairi.
“Bagi pihak seluruh rakyat dan anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, saya dengan penuh hiba dan dukacita mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham YB Ahli Dewan Negeri (ADUN) Slim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib diatas pemergian beliau akibat serangan jantung di Hospital Bentong, Pahang hari ini.
“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada Negeri Perak dan juga rakyat dikawasan DUN Slim serta UMNO Bahagian Tanjung Malim.
“Saya juga telah kehilangan seorang sahabat yang telah saya anggap sebagai saudara kandung sendiri.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, dihimpunkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga.
“Di doakan juga agar ahli keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Al-fatihah,” katanya menerusi satu kenyataan media.