1 MAC : Angka mangsa banjir di Kelantan terus meningkat di mana sehingga sehingga jam 8 malam ini, seramai 8,678 mangsa banjir masih berlindung di PPS yang dibuka berbanding 8,000 pada jam 4 petang tadi.
Semua mangsa itu membabitkan 2,895 keluarga yang kini berada di 30 PPS di empat daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat dan Pasir Puteh.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Pasir Mas paling ramai dengan 8,165 orang yang ditempatkan di 23 PPS.
PPS di Kuala Krai pula ditutup petang tadi susulan 31 mangsa dibenarkan pulang selepas banjir di rumah mereka pulih.
Mangsa banjir di Tanah Merah pula seramai 172 orang, diikuti Tumpat 298 mangsa dan Pasir Puteh dengan 43 mangsa.
Sementara itu, portal eBanjir Kelantan merekodkan dua sungai masih melepasi paras bahaya membabitkan Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu di Tumpat masing-masing mencatat bacaan 10.53 meter (m) dan 3.82 m.