2 MAC : Bantuan sehingga RM10,000 akan diberikan kepada mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan, sama seperti yang telah diumumkan dan diberikan kerajaan sebelum ini kepada mangsa banjir terdahulu, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Perdana Menteri, apa juga bantuan yang telah diberikan kerajaan sebelum ini kepada mangsa banjir pada gelombang pertama akan turut diberikan kepada mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan gelombang kedua ini.
“Maksudnya sama, bantuan wang ihsan RM1,000 selain RM2,500 untuk membeli barangan keperluan rumah dan untuk baiki rumah serta kenderaan (dan sebagainya).
“Jika dicampur semua bentuk bantuan berkenaan termasuk baucar pembelian barangan, nilai yang diterima setiap isi rumah mencecah hampir RM10,000,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Hulu Terengganu hari ini.
Beliau tiba di PPS berkenaan pada 2.15 petang dengan diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dengan orang ramai, sebelum menyampaikan sumbangan berkenaan kepada mangsa banjir.
Perdana Menteri ketika lawatannya ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Mas, Kelantan hari ini turut memaklumkan akan membina rumah baharu sebagai ganti kediaman penduduk yang musnah sepenuhnya akibat banjir di kedua buah negeri itu
Menurut Ismail Sabri, pembinaan rumah berkenaan akan dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) secepat mungkin.
“Terdapat tiga kategori kerosakan kediaman akibat banjir iaitu kerosakan yang kurang daripada RM5,000, kerosakan RM5,000 hingga RM15,000 dan kediaman yang musnah sepenuhnya.
“Bagi kerosakan kurang RM5,000, mereka boleh mendapatkan bantuan tunai segera, manakala untuk kerosakan sehingga RM15,000, mangsa banjir perlu memaklumkan kepada pejabat daerah atau pemimpin masyarakat sebelum kediaman mangsa dibaik pulih KPLB. Bagi kategori ketiga pula, KPLB akan membina rumah baharu untuk mangsa banjir,” jelasnya.