Polis Russia tahan ratusan penunjuk perasaan antiperang
3 MAC : Polis Russia menahan ratusan penunjuk perasaan antiperang ditahan di Moscow dan Saint Petersburg semalam selepas pengkritik Kremlin yang dipenjarakan, Alexei Navalny, menggesa rakyat Russia membantah pencerobohan Presiden Vladimir Putin ke atas Ukraine.
Polis di Saint Petersburg bertindak keras untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Di Moscow, pasukan penguatkuasaan undang-undang menutup Dataran Merah berhampiran Kremlin dan menahan sekurang-kurangnya tujuh orang yang berkumpul manakala pembesar suara memberi amaran kepada orang ramai daripada berkumpul.
Tunjuk perasaan semalam berlaku beberapa jam selepas Navalny menggesa perhimpunan harian diadakan menentang serangan tentera.
Menurutnya, Russia tidak seharusnya menjadi negara pengecut yang ketakutan dan menggelar Putin ‘tsar kecil yang gila’.
Kumpulan pemantau bebas OVD-Info berkata, lebih 7,000 orang keseluruhannya ditahan dalam tunjuk perasaan di merata Russia menentang pencerobohan Moscow ke atas Ukraine yang bermula Khamis lalu.
Navalny, 45, mengetuai bantahan terbesar di Russia terhadap Putin dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau menjadi sasaran dalam satu serangan keracunan yang didakwa didalangi Kremlin pada 2020.
Navalny kini menjalani hukuman penjara atas satu tuduhan penipuan lama di luar Moscow.