5 MAC: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan berkurangan kepada 2,690 setakat jam 10 pagi ini berbanding 4,715 semalam.
Semua mangsa daripada 823 keluarga itu masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Pasir Mas dan Tumpat.
Dua PPS di Pasir Mas juga ditutup semalam.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Pasir Mas dan Tumpat masing-masing berkurangan kepada 2,222 mangsa berada di tujuh PPS serta 468 orang di tiga PPS.
Walaupun keadaan cuaca di beberapa kawasan kembali cerah dan tidak mengalami hujan, masih ada beberapa kawasan yang digenangi air sehingga menjejaskan pergerakan penduduk di kawasan berkenaan.
Penduduk kampung kebanyakannya sudah kembali ke rumah masing-masing untuk mengemas dan membersihkan rumah masing-masing.