5 MAC: Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) baharu ke Thailand dan Kemboja akan beroperasi mulai 15 Mac ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengembara yang telah divaksin sepenuhnya akan dibenarkan melalui laluan itu, tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.
“Laluan VTL baharu ini dijangka dapat membantu memulihkan semula jaringan ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
“Bagi Thailand, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga enam penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Bangkok dan sehingga empat penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phuket.
“Untuk Kemboja, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga dua (2) penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phnom Penh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ka Siong berkata, laluan baharu untuk kedua-dua negara boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada permintaan pasaran.
Laluan VTL ini akan dikendalikan oleh semua syarikat penerbangan yang ditetapkan di bawah inisiatif VTL.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang berkaitan akan dikeluarkan oleh agensi masing-masing dalam masa terdekat dan pengembara diingatkan supaya mematuhi protokol kesihatan secara bertanggungjawab untuk menikmati kemudahan VTL itu.