8 MAC : Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini, sebagai persediaan untuk negara kembali kepada kehidupan normal selepas rakyat bergelut dengan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fasa ini adalah fasa sementara sebelum negara ke fasa endemik sepenuhnya yang mana ia tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sehubungan itu, menurut Perdana Menteri, beberapa standard operasi prosedur (SOP) yang sedia ada telah dimansuhkan dan juga diberi kelonggaran.
“Antara SOP yang dimansuhkan ialah aktiviti solat jemaah di masjid atau disurau, atau upacara ibadah dirumah ibadah bukan Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan sosial.
“Walaubagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan untuk Rumah Ibadat Selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR),” jelasnya dalam satu sidang media pada petang ini.
Selain itu, menurut Ismail Sabri lagi, pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka,tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.
“Pemakaian pelitup muka masih wajib dipakai di tempat awam. Manakala, had masa berniaga telah dimansuhkan dan kini boleh dibuka 24 jam mengikut syarat lesen masing-masing. Ini bermakna rakyat boleh makan dikedai makan selepas pukul 12 tengah malam.
“Di dalam bulan Ramadan, kita tahu ramai yang bersahur di luar, di restoran-restoran. Maka dengan membenarkan restoran beroperasi 24 jam, maka ia mempermudahkan umat Islam untuk bersahur di restoran-restoran,” katanya.
Mengenai keperluan vaksinasi, kata Ismail Sabri had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada vaksinasi dihapuskan.
“Semua individu kini dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka. Jadi tidak lagi timbul soal ada booster atau tidak, mereka boleh untuk merentas negeri, begitu juga dengan had pekerja di premis yang tidak lagi bergantung kepada status vaksinasi mereka.
“Begitu juga had kapasiti 50 peratus perkumpulan ramai juga dimansuhkan. Jika dulu, contohnya kenduri kahwin di dewan dihadkan 50 peratus kapasiti, kali ini tidak lagi apabila had itu dimansuhkan. Walau bagaimanapun penjarakan fizikal yang munasabah tetap perlu dilakukan, ” katanya lagi.