9 MAC: Antara 2,000 hingga 4,000 anggota tentera Russia terbunuh dalam tempoh dua minggu perang antara negara itu dan Ukraine.
Perkara itu didedahkan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat ketika pendengaran Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan AS.
Pengarah Agensi Perisikan Pertahanan Pentagon, Leftenan Jeneral Scott Berrier berkata, anggaran itu dibuat dengan ‘keyakinan yang rendah’ kerana dicapai dengan menggabungkan sumber risikan dan data daripada sumber terbuka.
Russia bagaimanapun, jarang mendedahkan angka kematian tenteranya.
Pada 2 Mac lalu 498 anggota tentera Russia dilaporkan maut, namun Ukraire mendakwa jumlah sebenar adalah lebih tinggi.
Jabatan Pertahanan AS dan ketua badan perisikan turut menyifatkan Presiden Russia, Vladimir Putin, sebagai amat agresif dan sedih dengan tentangan yang tidak diduga itu.
Sehubungan itu, beliau dijangka meneruskan serangan penuh terhadap Ukraine dalam masa terdekat meskipun tentangan global semakin hebat.
Menurut Pengarah Perisikan Pusat (CIA), William Burns, beliau percaya perang Ukraine-Russia didorong oleh ‘keinginan peribadi’ Putin.
“Dia sudah lama dibelenggu rasa bersalah dan cita-cita tinggi…minggu yang mendatang ini akan menyaksikan tindakan lebih agresif Russia Putin di Ukraine, tanpa mempedulikan nyawa orang awam.
“Pencerobohan yang dilancarkan ke atas Ukraine juga tidak berjalan sebagaimana dirancang dan beliau kini turut mengancam untuk melakukan serangan nuklear di Barat.
“Saya rasa Putin sedang marah dan kecewa sekarang serta mungkin menggandakan serangan cuba melemahkan tentera Ukraine, namun saya juga menjangkakan tentangan hebat daripada penduduk Ukraine sendiri,” katanya. – AFP