12 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini hadir meninjau proses pengundian di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Perumahan Tampoi 2, di Kempas pada pukul 1.55 tengah hari tadi.
Beliau menghabiskan kira-kira 10 minit meninjau suasana pusat mengundi itu di luar perkarangan sekolah berkenaan.
Turut hadir mengiringi Perdana Menteri ialah Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani.
Ismail Sabri dilihat turut memberi kata-kata semangat kepada Ramlee yang berdepan dengan saingan tujuh penjuru.
Tinjauan Perdana Menteri itu dipantau Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan (KKM).