12 MAC : Seorang warga emas dilaporkan meninggal dunia ketika sedang melaksana tanggungjawab mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Chai, Parit Unas, Muar hari ini.
Mangsa dikatakan rebah dan sebelum disahkan meninggal di pusat mengundi berkenaan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, dalam satu kenyataan berkata, mangsa berusia 78 tahun didapati rebah tidak sedarkan diri secara tiba-tiba ketika tiba di tempat kejadian.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke tempat kejadian.
“Siasatan dijalankan setakat ini tiada membabitkan sebarang unsur jenayah dan mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Kes itu menurut Zainuddin, diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian.
Beliau juga menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang isu sensitif berhubung kejadian itu di mana-mana saluran media sebelum mendapat kenyataan rasmi dari pihak polis.
Ini menurutnya adalah untuk, mengelakkan sebarang salah anggap dan spekulasi negatif yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.