12 MAC : Keputusan tidak rasmi memperlihatkan Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan majoriti 1,706 undi.
Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Masla yang berkata, keputusan kemenangan di DUN berkenaan diperolehi secara kiraan undi tidak rasmi.
“Kalau sebelum ini ia bergelora, tidak tenang, tetapi sekarang keputusan memihak kepada kita apabila sudah tenang.
“Alhamdulillah, pengumuman kedua ini membawa berita gembira apabila kita menang di Tenang, dengan majoriti 1,706 undi,” katanya menerusi pengumuman di ibu pejabat UMNO, di Kuala Lumpur malam ini.
Pada PRU-14, Pakatan Harapan menerusi calon daripada BERSATU memenangi DUN Tenang yang selama ini kerusi tradisi BN.
Pada PRN kali ini, BN mempertaruhkan Haslinda Salleh di DUN Tenang, bagi berdepan saingan empat penjuru, termasuk calon daripada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Lim Wei Jiet; Ahmad Huzaimi Uzir (Perikatan Nasional) dan Mohd Fauzi Bachok (Parti Pejuang Tanahair).