13 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan terhadap trend peratusan keluar mengundi yang disifatkan amat rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.
Presiden PKR itu berkata jumlah peratusan rendah itu dikhuatiri boleh menggugat proses demokrasi.
“PKR akur dengan keputusan yang dibuat rakyat Johor. Tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kejayaan membentuk kerajaan negeri di Johor.
“Bagaimanapun, kita amat khuatir dengan trend peratusan keluar mengundi yang amat mendukacitakan serta boleh menggugat proses demokrasi,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi mengumumkan jumlah peratusan keluar mengundi pada pilihan raya berkenaan adalah 54.92 peratus iaitu seramai 1,426,573 pengundi.
Peratusan itu rendah berbanding PRN Sarawak iaitu 60.67 peratus dan PRN Melaka, 65.85 peratus tahun lalu, walaupun PRN Johor menyaksikan pertambahan 30 peratus pengundi baharu susulan pelaksanaan Undi18.
PKR yang bertanding atas logo sendiri semalam hanya memenangi satu daripada 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.
Calonnya, Arthur Chong Sen Sern, memenangi kerusi DUN Bukit Batu dengan majoriti 137 undi.