18 MAC : Kerajaan Malaysia tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berkaitan negeri Sabah, demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kata Ismail Sabri, Sabah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963.
Menurutnya, kerajaan Malaysia memandang serius isu kedaulatan negara, termasuk kedaulatan dan keutuhan Sabah dalam Malaysia.
“Tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Sultan Sulu terhadap kerajaan melalui satu prosiding timbang tara (arbitration) antarabangsa adalah tidak sah dan melanggari undang undang,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Perdana Menteri lagi, pelantikan penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa, sudah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021, yang mengakibatkan semua keputusan dikeluarkannya adalah tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari lalu.
Walaupun pelantikan Dr Stampa sudah dibatalkan, menurut Ismail Sabri, beliau tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris, Perancis dan meneruskan prosiding timbang tara berkenaan sehingga mengeluarkan Final Award.
“Bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara, kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award itu pada 3 Mac 2022 di Mahkamah di Paris, Perancis.
“Ini bagi memastikan keputusan Final Award itu tidak boleh dikuatkuasakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana-mana negara dan supaya Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut,” ujarnya.
Ismail Sabri berkata, kerajaan tetap komited untuk menyelesaikan isu itu secara tuntas dan muktamad.
“Kerajaan tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama lamanya,” tegasnya.