20 MAC : Empat anggota marin Amerika Syarikat (AS) maut apabila pesawat tentera milik negara itu terhempas ketika menjalani latihan di Norway.
Semua mangsa antara yang mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan dipanggil ‘Cold Response’ yang membabitkan 30,000 tentera dari Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan negara sekutunya.
Terdahulu, pesawat dinaiki mereka, V-22B Osprey milik Kor Marin AS, dilaporkan hilang pada petang Jumaat di selatan Bodo dekat utara Norway.
Polis daerah Nordland tiba di tempat kejadian jam 1.30 petang waktu tempatan dan mengesahkan empat anak kapal berkenaan meninggal duni di mana semua empat mangsa dikenal pasti sebagai rakyat AS.
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Marin AS dalam satu kenyataan memaklumkan, identiti semua empat anggota yang terbunuh itu tidak akan didedahkan sehingga 24 jam selepas waris dimaklumkan.
Ketua Polis Nordland ketika bercakap pada sidang media berkata, kawasan terbabit nahas itu terdedah kepada tanah runtuh dan runtuhan salji.
Kira-kira 200 pesawat dan 50 kapal mengambil bahagian dalam latihan ‘Cold Response’ itu, yang akan diteruskan sehingga 1 April depan.
Ketegangan antara Russia dan NATO memuncak susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, namun latihan terbabit sudah lama dirancang sebelum serangan Russia ke atas negara jirannya itu bermula pada 24 Februari.