23 MAC : Syarikat pelaburan terkemuka Kuwait, Al Hajiri Global Group berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama pelaburannya di Asia Tenggara.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Al Hajiri Global Group juga turut meninjau peluang pelaburan di Malaysia di mana pelaburan ini akan dilakukan bersama Kumpulan Boustead Holdings Bhd. (Kumpulan Boustead) dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Saya berbesar hati menerima kunjungan hormat delegasi pihak pengurusan tertinggi Al Hajri Global Group yang diterajui oleh Pengerusi Sheikh Essa R Al-Hajri dan Penasihat dan CEO Al Hajri Global Group untuk Malaysia, Eropah dan Turki, Dr Osama Mohammed.
“Dalam pertemuan itu, Sheikh Essa R Al-Hajri menyuarakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama pelaburannya di rantau Asia Tenggara.
“Antara peluang pelaburan yang dikenal pasti ialah projek infrastruktur, pengilangan, perubatan, tenaga boleh diperbaharui, alga dan beberapa bidang lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Kata Perdana Menteri lagi, pada masa sama, Sheikh Essa R Al-Hajri turut menyampaikan surat jemputan rasmi kepada beliau dan juga Ketua-ketua eksekutif syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melawat Kuwait.
Lawatan itu bagi mengukuhkan hubungan perniagaan dan pelaburan, serta meningkatkan urusan dagangan dua hala antara dua-dua buah negara, ujarnya lagi.