24 MAC: Selepas dua tahun tradisi pulang atau mudik ke kampung disekat akibat COVID-19, sambutan Aidilfitri di Indonesia tahun ini pasti lebih berseri apabila larangan perjalanan domestik pada musim cuti perayaan awal Mei depan ditarik balik.
Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengumumkan perkara itu semalam, selepas situasi pandemik COVID-19 di negara Gajah Putih itu semakin pulih.
“Situasi COVID-19 yang semakin pulih memberi keyakinan dan Ramadan juga bakal menjelang.
“Mereka yang mahu ‘mudik’ kini dibenarkan,” kata Jokowi dalam sidang media di negara itu semalam.
Keputusan membenarkan pergerakan tahunan selepas berakhirnya Ramadan itu adalah langkah terbaharu dilaksanakan dalam melonggarkan sekatan COVID-19 dan memulihkan ekonominya.
Indonesia yang mempunyai 270 juta penduduk, menyekat perjalanan besar-besaran tradisi ‘mudik’ pada awal 2020 dalam usaha untuk membendung penularan COVID-19 bersama seluruh dunia.
Bagaimanapun, jutaan penduduk mengingkari larangan itu dan meninggalkan pusat bandar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, sebagaimana tradisi diamalkan majoriti penduduk negara lain yang beragama Islam.
Selepas kes COVID-19 mula mendatar selepas memuncak pada pertengahan Februari susulan penularan varian Omicron, pihak berkuasa turut menarik balik sekatan perjalanan dalam dan luar negara.
Awal minggu ini, Indonesia menggugurkan peraturan kuarantin untuk ketibaan pengembara asing yang sudah divaksinasi, berikutan langkah sama dilaksanakan negara lain di rantau berkenaan. – REUTERS