24 MAC : Kerajaan sentiasa mendukung usaha-usaha ke arah menggilap bakat ahli-ahli akademik tempatan melalui pelbagai aktiviti termasuklah pengajaran dan pembelajaran, penyeliaan, penyelidikan, penulisan ilmiah dan penulisan media massa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, peranan ahli akademik amat penting bagi menyiapkan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi pada 2025 seperti mana yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)
Pengiktirafan yang diberikan setiap tahun kepada ahli-ahli akademik tersohor negara atas usaha mereka membudayakan ilmu di peringkat adalah selari dengan dasar Kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan tinggi pilihan di Asia terutamanya di Asia Tenggara.
“Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-14 pada malam ini, penting kerana ia memperlihatkan usaha Kerajaan mengiktiraf ahli-ahli akademik Negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di dalam pelbagai bidang ilmu.
“Memetik kata-kata seorang pemikir masa depan, “20 tahun akan datang berkemungkinan membawa lebih banyak perubahan kepada manusia berbanding 300 tahun yang lalu”.
“Kata-kata ini untuk mengingatkan kita bahawa cabaran masa depan sudah pun tiba,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Akademik Negara, di Hotel Sama-Sama, Sepang malam ini.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Katanya lagi, hari ini jelas bahawa perubahan drastik sedang terus berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada semua peringkat pendidikan formal.
Pengajaran dan pembelajaran menurut Ismail Sabri, berorientasikan masa hadapan perlu menjadi teras pendidikan tinggi nasional, malah konsep ‘Future Learning Initiatives’ tidak lagi menjadi sesuatu yang aneh di institusi pendidikan tinggi negara ini.
“Justeru, kerajaan akan memastikan usaha bersepadu akan dilaksana bagi menggalakkan peralihan kepada sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan memenuhi kehendak industri.
“Ahli akademik juga perlu melengkapkan diri seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 yang memperkenalkan kaedah baharu dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, internet mudah alih berkelajuan tinggi, analitis data raya (BDA) dan internet benda (IoT) yang akan memberi kesan kepada pendidikan dan latihan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap agar anugerah ini dijadikan sebagai pembakar semangat warga pensyarah dan pengajar di institusi pendidikan tinggi negara untuk terus meningkatkan darjah keilmuan, kepakaran seterusnya kecemerlangan diri masing-masing di samping menambah keterampilan institusi-institusi pendidikan tinggi Malaysia di mata
“Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan AAN pada tahun ini,” katanya lagi.