25 MAC: Russia dan Ukraine semalam buat julung kalinya saling bertukar tahanan sejak krisis antara dua negara itu meletus sejak sebulan lalu.
Kyiv memberitahu ia menyaksikan tahanan tentera beralih tangan antara dua pihak yang bertelagah.
“Berikutan arahan Presiden Volodymyr Zelensky, pertukaran tawanan perang sepenuhnya yang pertama telah dilakukan,” kata Naib Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk, melalui kenyataan dalam Facebook.
Katanya, pertukaran itu membabitkan masing-masing 10 tentera Russia dan Ukraine.
Selain itu, beliau berkata, seramai 11 pelaut awam Russia dan 19 kru kapal awam Ukraine juga beralih tangan antara kedua-dua pihak.
“Saya mengesahkan maklumat bahawa 10 tentera Russia yang ditahan di wilayah Ukraine sudah ditukar dengan 10 askar Ukraine.
“Selain itu, terdapat kelasi awam Russia dan Ukraine yang beralih tangan antara kedua-dua pihak,” kata ombudsman hak asasi Russia, Tatiana Moskalkova. – AFP