25 MAC: Sebanyak 15,574,997 atau bersamaan 66.2 peratus individu dewasa di negara ini sudah menerima dos penggalak COVID-19 setakat semalam.
Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 22,947,183 atau 97.5 peratus daripada populasi sama melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,223,301 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,846,984 individu atau 91.5 peratus daripada populasi itu sudah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,944,079 atau 94.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Untuk populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pula, seramai 1,282,478 individu atau 36.1 peratus kumpulan itu sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).
Sebanyak 27,812 dos vaksin diberikan semalam meliputi 5,900 dos pertama, 1,680 dos kedua dan 20,232 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,607,824.
Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 64 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Johor tertinggi iaitu 11 kes, diikuti Perak (sembilan), Kedah dan Selangor masing-masing lapan kes dan Melaka (lima).
Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak pula masing-masing empat kes, Terengganu (tiga), Kelantan, Pulau Pinang dan Sabah masing-masing dua kes, manakala Perlis dan Kuala Lumpur masing-masing satu kes. – BERNAMA