25 MAC : Seorang bekas penyanyi kumpulan nasyid dan komposer ditahan semalam kerana memiliki dadah dan menanam pokok ganja di unit kondominium yang didiaminya dipercayai untuk kegunaan sendiri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berdasarkan siasatan awal, suspek yang berusia 47 tahun itu sudah lebih 10 tahun menjadi penagih aktif.
Kata Mohamad Fakhrudin, dalam serbuan di kondominium di Damansara itu, pihaknya merampas 17 pasu pokok ganja selain ketulan mampat ganja seberat 214 gram dianggarkan bernilai RM10,700.
Polis juga menurutnya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar suspek yang pernah berkolaborasi dengan artis lain dalam beberapa lagu itu memiliki keseluruhan dadah terbabit.
“Kita menahan suspek di rumahnya kira-kira pukul 5.30 petang semalam (Khamis), dan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini. Siasatan awal mendapati suspek mendiami unit tersebut seorang diri.
“Ketulan mampat ganja yang dirampas itu ditemui di bahagian dapur dalam bekas plastik berwarna biru dan hitam yang diletakkan di atas kabinet dapur.”
“Suspek dipercayai menggunakan media sosial bagi mempelajari selok-belok memproses dadah tersebut. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja,”
katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.
Mohamad Fakhrudin memberitahu, polis juga menemui almari kain berwarna hitam yang di dalamnya terdapat tiga pasu pokok disyaki ganja di dapur rumah itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti bekalan benih ganja diperoleh suspek.
“Kita juga merampas pelbagai alatan penanaman tumbuhan berkenaan antaranya cecair pemusnah serangga, penyukat suhu, lampu, pelbagai jenis alat pengudaraan, pasport antarabangsa, sebuah kereta milik suspek iaitu Toyota Wish dan wang tunai bernilai RM40,700, yang mana nilai keseluruhan rampasan adalah RM61,600 ,” katanya.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B, Akta Dadah Berbahaya 1952, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.