27 MAC: Hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi antara Malaysia dengan Qatar dijangka diperkukuh lagi menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ke Qatar selama tiga hari bermula hari ini hingga Selasa depan.
Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan, berkata beberapa mekanisme sudah tersedia bagi mencapai kedua-dua objektif itu.
Beliau berkata, mekanisme pertama ialah penubuhan Kedutaan Malaysia di Doha pada 2004, diikuti penubuhan Jawatankuasa Bersama Perdagangan antara Qatar dengan Malaysia pada 2018, serta Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi Malaysia-Qatar pada 2019.
“Mekanisme terkini adalah pertemuan dan perbincangan pada peringkat tertinggi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, dengan Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, pada 29 Mac nanti,” katanya kepada media Malaysia di pejabatnya, di Doha, hari ini.
Beliau berkata, pada pertemuan itu nanti, Perdana Menteri dijangka menyampaikan komitmen Malaysia serta mendengar dan mendapatkan maklum balas Qatar untuk meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi.
“Lawatan ini juga penting kerana ada banyak yang perlu dilihat dalam hubungan Malaysia dan Qatar, terutama dalam usaha pemulihan pascapandemik.
“Malaysia dan Qatar masing-masing ada strategi untuk mengawal penularan COVID-19. Walaupun jumlah kes masih tinggi, program vaksinasi dan pemberian dos penggalak membolehkan pandemik dikekang.
“Dalam hal ini, Qatar mungkin lebih awal dapat mengawal pandemik itu kerana program vaksinasinya sangat agresif,” katanya.
Penganjuran Forum Doha edisi ke-20 pada 26 dan 27 Mac serta Kongres FIFA ke-72 pada 31 Mac ini adalah bukti kesediaan dan kejayaan Qatar dalam mengekang penularan COVID-19.
Zamshari berkata, Malaysia perlu memanfaatkan hubungan dengan Qatar kerana negara ini mencatat pertumbuhan ekonomi antara empat dan lima peratus dengan kadar pendapatan per kapita tertinggi di dunia, di samping pembangunan pesat dalam bidang pembinaan sebagai persediaan menganjurkan pertandingan bola sepak Piala Dunia pada November depan.
“Qatar mempunyai kekuatan ekonomi untuk kita sama-sama manfaatkan dari segi peluang-peluang pelaburan seperti bidang pembinaan.
“Untuk Piala Dunia sahaja, terdapat sebuah syarikat Malaysia yang sudah mendapat peluang ubah suai satu daripada stadium yang akan digunakan. Jadi, mungkin ada syarikat-syarikat Malaysia yang boleh cuba menerokai bidang lain,” katanya.
Zamshari berkata, Qatar adalah rakan dagang penting bagi Malaysia dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencapai AS$0.8 bilion pada 2019, namun berkurang kepada AS$0.5 bilion dan AS$0.63 bilion pada 2020 dan 2021 akibat penularan COVID-19.
“Diharap dengan lawatan Perdana Menteri ini, nilai dagang antara kedua-dua negara akan kembali kepada AS$0.8 bilion atau lebih lagi,” katanya.
Ketika lawatan ke Qatar, Perdana Menteri akan turut mengadakan sesi libat urus dengan komuniti perniagaan dan Keluarga Malaysia di Doha.
Delegasi Malaysia akan turut dianggotai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup; serta Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh. – BERNAMA