29 MAC : Malaysia dijangka memeterai perjanjian pembangunan ladang tenusu berskala besar yang bernilai RM4 billion bersama sebuah syarikat membekal makanan dan tenusu terbesar di Qatar, Baladna Food Industries.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha sama ini yang bakal mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan ini dijangka ditandatangani pada Jun tahun ini.
“Baladna ialah syarikat Qatar yang terbesar dalam membekal makanan dan produk tenusu dan ia berpotensi menjadi rakan kongsi FELCRA dan FGV dalam projek usaha sama pembangunan ladang tenusu berskala besar di Chuping, Perlis (NCER).
“Baladna, FELCRA dan FGV telah menandatangani Memorandum of Collaboration (MoC) untuk mengkaji kebolehlaksanaan projek usaha sama pada Ogos 2021.
“Kerjasama ini menyasarkan penghasilan 208.8 juta liter susu segar setahun berasaskan lebih 14,000 ekor lembu tenusu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Ismail Sabri sebelum itu dibawa melawat Ladang milik Baladna dan disambut Pengerusi Kumpulan Baladna Food Industries Moutaz Al-Khayyat dan Pengarah Urusannya Ramez Al-Khayyat, disusuli dengan lawatan ke pusat pengeluaran susu lembu Holstein berkualiti Baladna.
“Saya juga melawat ladang sayuran organik, cendawan dan udang milik Agrico di Al Khor, kira-kira 50 kilometer di utara Doha.
“Dalam satu majlis kemudian, saya menerima surat komitmen untuk pelaburan berjumlah USD360 juta daripada pengerusi syarikat Ahmed Hussain Al-Khalaf,” ujarnya.