31 MAC : Penyanyi nasyid yang ditahan kerana memiliki dan menanam pokok ganja di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya pada pukul 10 pagi ini bagi menghadapi pertuduhan kes berkenaan.
Sepasukan polis kelihatan mengiringi lelaki berusia 47 tahun itu ketika hadir di mahkamah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid semalam dilaporkan berkata, pertuduhan di mahkamah dibuat selepas polis menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Menurutnya, suspek ditahan bersama 17 pokok ganja, yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara.
Kegiatan menanam pokok ganja itu berjaya dikesan menerusi serbuan yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.