Zelensky pecat dua pegawai kanan keselamatan Ukraine
1 APRIL : Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memaklumkan sudah memecat dua anggota kanan perkhidmatan keselamatan iaitu ketua keselamatan dalam negeri dan ketua agensi wilayah Kherson, atas alasan kedua-dua mereka adalah pengkhianat.
“Saya tidak mempunyai masa untuk berurusan dengan pengkhianat dan mereka akan dihukum selepas ini. Kedua-dua individu itu mengkhianati sumpah mereka untuk mempertahankan Ukraine,” katanya tanpa memberi butiran lanjut.
Zelensky yang sering menggunakan kiasan dalam ucapannya, berkata Russia sangat jahat dan ingin melihat kemusnahan, selain mereka seolah-olah berasal dari dunia yang berbeza, ‘raksasa yang membakar, merompak dan menyerang serta rakus membunuh.
Katanya lagi, Russia kini sedang membina kekuatan tentera di bandar Mariupol yang sudah ditawan dan keadaan di selatan serta wilayah Donbas kini sangat sukar.
Russia bagaimanapun berkata ia hanya menjalankan operasi khas melucutkan senjata selain turut menafikan dakwaan Kyiv bahawa tentera Russia mensasarkan orang awam.
Zelensky berkata tentera Ukraine berjaya menghalau Russia dari Kyiv dan Chernihiv, dua bandar di mana Moscow mengumumkan tidak akan menumpukan serangan bagi membolehkan mereka menawan wilayah Donbas dan Luhansk.