2 APR: Polis menahan seorang guru tadika bagi membantu siasatan kes penderaan empat kanak-kanak di sebuah tadika di Muar yang dipercayai bermula sejak November tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner, Shahurinain Jais berkata, penahanan terhadap suspek berusia lewat 50-an itu telah dibuat selepas wanita berkenaan menyerah diri di balai polis semalam.
Beliau berkata, siasatan dibuat susulan ibu kepada salah seorang mangsa mempunyai satu rakaman video yang memaparkan anaknya telah didera oleh guru terbabit.
“Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor sedang menjalankan siasatan berkaitan kejadian penderaan di sebuah tadika swasta di Muar.
“Hasil siasatan mendapati seorang guru tadika wanita terbabit didakwa bertindak mengasari (mendera) empat murid lelaki berusia tiga hingga lima tahun.
“Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk pemeriksaan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Shahurinain berkata, suspek kini telah direman selama enam hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.