2 APR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersedia untuk mengkaji semula kos bina baharu dan baik pulih Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk golongan B40 di luar bandar.
Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pada masa kini kos bagi bina baharu rumah PPRT dianggarkan berjumlah RM56,000 di Semenanjung manakala kos baik pulih ialah RM13,000.
“Kajian mengenai kos bina baharu PPRT dan baik pulih ini masih di peringkat KPLB kerana kita mendapati kos pembinaan semakin bertambah berikutan didorong pelbagai faktor seperti kos pengeluaran bahan oleh pengilang, kos import bahan-bahan binaan dari negara luar dan kadar upah bagi pekerja pembinaan.
Peningkatan kos ini menyebabkan ramai kontraktor kecil di kampung yang terbabit dalam projek membina rumah PPRT tidak mampu melakukannya kerana keuntungan yang rendah.
”Ketika ini KPLB sedang melakukan libat urus dengan pelbagai agensi untuk mendapatkan cadangan sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri.
Setelah dipersetujui oleh Jemaah Menteri, kita akan memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan menerusi pembentangan Bajet 2023 yang akan datang,” kata Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Program Penyerahan Kunci Rumah kepada mangsa kebakaran di Kampung Peruang dan penerima rumah PPRT di Kampung Ulu Teris di Lipis, hari ini.
Pada program tersebut, seramai dua orang penerima rumah PPRT menerima kunci rumah masing-masing sekali gus memberikan keceriaan dan kegembiraan buat kedua-dua penerima bersempena bulan Ramadan dan Aidilfitri yang akan menjelma tidak lama lagi.
“Kualiti Rumah PPRT yang dibina ini adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak KPLB dengan setiap rumah akan dibina dengan kapasiti tiga bilik tidur dan satu bilik air untuk memberikan keselesaan kepada penerima rumah,” katanya.
Tambah Abdul Rahman, pada tahun 2022 KPLB memperuntukkan sejumlah RM361 juta untuk PPRT di seluruh negara dengan pecahan peruntukan bina baharu berjumlah RM178 juta bagi 2,503 buah rumah manakala baik pulih RM182 juta bagi 11,453 buah rumah.
”Bagi Negeri Pahang pula, selain rumah PPRT, KPLB turut membina serta membaik pulih Rumah Kasih Keluarga Malaysia (RKKM) khas untuk mangsa banjir dan yang terkesan dengan banjir di negeri ini akibat banjir yang melanda negeri ini pada beberapa bulan yang lepas.
”Negeri Pahang pula akan menerima peruntukan berjumlah RM43 juta bagi kedua-dua inisiatif (PPRT dan RKKM) di bawah KPLB ini,” katanya.