4 APR: Bekas putera mahkota Jordan, Putera Hamzah Al-Hussein semalam melepaskan gelaran dirajanya.
Hamzah yang terbabit dalam rancangan rampasan kuasa tahun lalu terhadap abang tirinya, Raja Abdullah II mengumumkan perkara itu sebulan selepas kenyataan mahkamah diraja mengatakannya memohon maaf kepada Raja Abdullah II.
“Selepas apa yang saya saksikan sejak beberapa tahun lalu, saya telah membuat kesimpulan bahawa keyakinan peribadi dan nilai yang ayah tanamkan dalam diri saya tidak selaras dengan pendekatan, trend atau kaedah moden institusi kita.
“Saya mendapat penghormatan besar untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat tercinta dalam kapasiti ini sepanjang hidup saya dan terus setia kepada Jordan yang dicintai,” katanya.
Pada 8 Mac, mahkamah diraja berkata, Hamzah bertanggungjawab atas tindakan dan kesalahannya terhadap Jordan dan Raja Abdullah II Al Hussein sejak beberapa tahun lalu, termasuk insiden dalam kes hasutan.
Pihak berkuasa Jordan April lalu mengumumkan bahawa mereka telah menggagalkan usaha untuk menggugat kestabilan kerajaan bersekutu Barat, menandakan krisis yang jarang berlaku dalam kerajaan yang dilihat sebagai tonggak kestabilan di rantau itu.
Hamzah, yang diketepikan oleh Raja Abdullah II Al Hussein sebagai pewaris takhta pada 2004, menuduh pemerintah Jordan melakukan rasuah dan tidak cekap dalam mesej video yang disiarkan oleh BBC pada 3 April.
Mahkamah Jordan pada Julai menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada bekas ketua mahkamah diraja, Bassem Awadallah dan bekas utusan ke Arab Saudi, Sharif Hassan Zaid selepas didapati bersalah dalam plot itu.
Hamzah tidak didakwa dalam perbicaraan, tetapi kertas pertuduhan menyatakannya bertekad memenuhi cita-cita peribadinya untuk memerintah, melanggar perlembagaan dan adat Bani Hashim.
Raja Abdullah II Al Hussein melantik Hamzah sebagai putera mahkota pada 1999 atas permintaan Allahyarham ayahandanya, Raja Hussein, tetapi memecatnya pada 2004, kemudian menamakan anaknya, Putera Hussein, sebagai barisan seterusnya untuk takhta Bani Hashim. – AFP