8 APR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 36 kes kematian COVID-19 semalam termasuk sembilan kematian di luar hospital (BID).
KKM dalam perincian dikeluarkan GitHub menyatakan jumlah kumulatif kematian kini mencecah angka 35,228 kes.
KKM turut melaporkan 11,994 kes COVID-19 meliputi 11,969 penularan tempatan dan 25 kes import menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini ialah 4,292,585.
Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi, iaitu sembilan kes, diikuti Perak dan Sarawak masing-masing lima kes, Johor dan Pulau Pinang masing-masing empat kes, Terengganu dan Putrajaya masing-masing dua kes serta Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah, dan Kuala Lumpur masing-masing satu kes.
Tiada kes kematian dilaporkan di Kedah, Kelantan, Perlis, dan Labuan.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 157,571 kes aktif COVID-19 dilaporkan, termasuk 197 yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 108 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 16,603 kes sembuh turut dilaporkan.