8 APR: Permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pasport bagi mengerjakan umrah dibenarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan itu kerana beliau akan mengerjakan umrah bermula 21 hingga 30 April ini.
Sequerah membenarkan permohonan bagi pelepasan pasport itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan bahawa pendakwaan tidak membantah permohonan berkenaan.
Raja Rozela berkata, oleh kerana tarikh untuk mengerjakan umrah itu bertindih dengan tarikh perbicaraan yang sudah ditetapkan sebelum ini, maka hari perbicaraan yang dilapangkan sepatutnya digantikan dengan tarikh baharu.
Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata, pembelaan berharap pasport anak guamnya diberikan serta-merta kerana ia diperlukan untuk memudahkan urusan proses visa.
Katanya, Ahmad Zahid akan mengaku janji untuk memulangkan pasport itu pada 5 Mei ini.
Sequerah kemudian menetapkan 13 dan 15 April ini serta 1 Julai bagi tarikh gantian perbicaraan bela diri.
Ini adalah kali kedua Presiden UMNO itu memohon pelepasan pasportnya selepas Sequerah pada 11 Oktober tahun lalu membenarkan beliau mendapatkan dokumen itu bagi membolehkannya menerima rawatan pembedahan tulang belakang di Munich, Jerman.
Pada prosiding 13 April ini, Ahmad Zahid akan mula membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.