Polis selesaikan kes rogol 12 tahun lalu guna kaedah DNA
8 APRIL : Satu kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang berlaku 12 tahun lalu di Balik Pulau, berjaya diselesaikan pihak polis dengan menggunakan hasil data asid deoksiribonukleik (DNA).
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan, kes itu berjaya diselesaikan dengan penahanan seorang lelaki berusia 40 tahun di sebuah ladang ternakan kambing di Balik Pulau pada jam 3.30 petang, semalam.
“Siasatan saintifik yang menggunakan data DNA berjaya mengenal pasti identiti suspek dalam kes ini.
“Sehubungan itu, satu operasi dilancarkan serta-merta untuk mengesan suspek dan dia berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.
Suspek menurutnya berjaya ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Pulau Pinang selama enam hari bermula hari ini hingga 13 April bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“PDRM tidak pernah berputus asa dalam usaha mendapatkan maklumat perkembangan kes sehinggalah berjaya mengenal pasti suspek yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan.
“PDRM sedang melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan,” katanya.