8 APR : Thailand bercadang membatalkan ujian saringan RT-PCR yang diwajibkan ke atas ketibaan antarabangsa, bermula Mei, dalam usaha negara ini untuk memulihkan industri pelancongan.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin, berkata di bawah cadangan itu, pengembara yang sudah menerima vaksin COVID-19, tidak lagi perlu menjalani saringan RT-PCT dan menempah hotel yang ditetapkan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, katanya, pelancong perlu melakukan ujian antigen kendiri di lapangan terbang.
Beliau berkata, CCSA pada dasarnya bersetuju dengan langkah itu, namun bergantung kepada kelulusan.
“CCSA akan menyemak cadangan kelonggaran selepas cuti Songkran, minggu depan,” katanya selepas taklimat harian, di sini hari ini.
Pada masa ini, di bawah program ‘Test & Go’ tanpa kuarantin, pengembara perlu menempah hotel yang ditetapkan lebih awal, serta melakukan saringan RT-PCR pada hari pertama ketibaan dan ujian ATK pada hari kelima.
Taweesin berkata, CCSA turut bersetuju dengan cadangan untuk mengurangkan perlindungan insurans kesihatan serta mengurangkan jumlah dokumen yang diperlukan, semasa mendaftar untuk Pas Thailand.
Sementara itu, Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha, berkata mulai Mei juga kerajaan akan melonggarkan lagi sekatan perjalanan, bagi ketibaan pelancong yang menggunakan laluan darat dan udara. – BERNAMA