10 APR: Lebih 4.4 juta pelarian Ukraine meninggalkan negara itu sejak perang Russia-Ukraine meletus pada 24 Februari lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata, terdapat seramai 4,441,663 juta pelarian Ukraine setakat semalam sekali gus merekodkan jumlah pelarian yang tinggi di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Sejumlah 90 peratus daripada mereka yang melarikan diri dari Ukraine terdiri wanita dan kanak-kanak kerana pihak berkuasa Ukraine tidak membenarkan golongan lelaki meninggalkan negara itu.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM), kira-kira 210,000 orang bukan rakyat Ukraine meninggalkan negara itu dan menghadapi kesukaran untuk pulang ke negara asal mereka.
PBB menganggarkan 7.1 juta orang kehilangan tempat tinggal dalam negara itu, menurut angka yang dikeluarkan oleh IOM pada 5 April lalu.
Lebih 11 juta orang atau lebih satu perempat daripada penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka, menyeberangi sempadan ke negara jiran atau mencari perlindungan di tempat lain di Ukraine.
Sebelum konflik, Ukraine adalah tempat kepada lebih 37 juta orang di wilayah yang dikawal di Kyiv, tidak termasuk Crimea.
Poland menjadi negara paling ramai mempunyai pelarian dengan 2,564,994 orang memasuki negara itu sejak 24 Februari lalu, menurut UNHCR.
Kebanyakan daripada mereka kemudian ke negara Eropah lain. – AFP