11 APR : Hanya 10 peratus pegawai dan anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di seluruh negara dibenarkan bercuti sempena Aidilfitiri kali ini, manakala selebihnya bertugas dan dalam mod bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata KDNKA mempunyai kira-kira 26,000 pegawai dan anggota dengan sebahagian besar akan bertugas serta bersiap sedia sepanjang tempoh pergerakan besar-besaran orang ramai bercuti sempena Aidilfitri.
“Hanya 10 peratus yang akan bercuti kerana kami menjangkakan waktu itu, pergerakan besar-besaran akan berlaku di seluruh negara. Yang lain (tidak bercuti) akan terlibat bertugas dan bersiap sedia untuk apa jua kemungkinan misalnya bencana dan lain-lain.
“Kami juga bersiap-sedia daripada aset polis untuk dikerahkan,” katanya selepas majlis serah terima tugas Timbalan Pengarah KDNKA di Padang Kawad Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menjangka 30 April hingga 4 Mei akan berlaku pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman untuk berhari raya selepas dua tahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Hazani berkata, KDNKA akan meningkatkan pemantauan di lokasi ‘hotspot’ sempena Aidilfitiri, termasuk pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Polis juga bukanlah sewenang-wenangnya mengeluarkan kompaun, tapi akan memberikan nasihat terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata sejak negara mula memasuki peralihan fasa ke endemik bermula awal bulan ini, jumlah kompaun yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menurun dan orang ramai dilihat mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Selain itu, KDNKA juga akan terus meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin menjelang musim perayaan Aidilfitri ini,” katanya. – BERNAMA