11 APR: Ribuan penduduk melarikan diri apabila pertempuran baharu meletus di bandar Lay Kay Kaw berhampiran sempadan Thailand semalam menyaksikan tentera Myanmar melancarkan serangan udara menyasarkan pemberontak etnik di negeri Karen.
Jurucakap Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU), yang juga kumpulan pemberontak beretika tertua di Myanmar berkata, tentera kelihatan mengukuhkan kawasan itu selepas pertempuran semalam walaupun belum menerima laporan pertempuran baharu hari ini.
“Mereka masih belum berundur sama sekali, malah menghantar lebih banyak pasukan tentera.
“Kumpulan itu membunuh seramai 45 tentera dan kehilangan dua anggotanya dalam pertempuran semalam,” katanya.
Laporan televisyen memaklumkan pemberontak menahan kapten tentera Myanmar ketika pertempuran, bagaimanapun usaha menghubungi jurucakap tentera bagi mengesahkan perkara itu tidak berjaya.
Beberapa bulan kebelakangan ini, sebahagian besar Lay Kay Kaw berada di bawah kawalan KNU.
Bagaimanapun pihak tentera dilihat cuba mengambil semula kawalan di situ dan tercetusnya pertempuran Disember lalu, apabila beberapa individu ditahan di bandar itu.
Pertempuran semalam tercetus selepas KNU cuba menghalau pasukan tentera yang memasuki salah satu daerah.
Dalam serangan balas, pihak tentera melancarkan serangan udara.
Penduduk di Mae Sot, bandar di wilayah Thailand berdekatan sempadan berkata mereka mendengar bunyi tembakan dan dipercayai letupan.
Myanmar mula bergolak sejak pihak tentera menyingkirkan kerajaan orang awam diketuai Aung San Suu Kyi tahun lalu, sekali gus mencetuskan pemburuan terhadap penunjuk perasaan oleh pihak keselamatan dan penubuhan militia anti-junta yang bersekutu dengan pemberontak etnik. – REUTERS