18 JULAI: Kerjasama lebih formal antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah terbentuk dengan ketiga-tiga parti akan mengadakan pertemuan secara formal Isnin ini.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, pertemuan pada sebelah malam itu akan berlangsung buat pertama kali melibatkan wakil ketiga-tiga parti yang akan duduk bersama berbincang mengenai kepentingan negara dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Sekarang sudah terbentuk satu kerjasama lebih formal antara UMNO, Pas dan juga Bersatu. Isnin malam, wakil tiga-tiga parti akan duduk secara formal buat pertama kali.
“Kita bincang perkara-perkara bagaimana hendak selamatkan negara, supaya ada kerajaan yang kuat, supaya kerajaan boleh melaksanakan lebih banyak agenda membela rakyat.
“Itu yang penting kerana kita tidak mahu terlalu banyak politiking kerana kita ada terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan sekarang,” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Annuar berkata, perundingan dengan parti komponen yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sudah tentu turut dilakukan walaupun BN yang akan meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim nanti.
Beliau berkata, proses memilih calon akan berjalan seperti biasa yang akan ditentukan dalam mesyuarat BN Perak.
Bagaimanapun jelas beliau, perkara itu akan diputuskan selepas satu tempoh sebagai menghormati Allahyarham Datuk Khusairi Abdul Talib yang baru sahaja meninggal dunia.
“BN Perak akan bermesyuarat dan mengemukakan beberapa nama sebelum Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membuat pemilihan.
“Namun yang pasti BN akan hantar calon. Walaupun calon datang dari BN, namun kita akan berunding dengan Pas dan juga Bersatu kerana kita sekarang berada di bawah kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.
Allahyarham Khusairi meninggal dunia di Hospital Bentong selepas mengadu sesak nafas Rabu lalu.
Khusairi memenangi kerusi DUN Slim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dengan memperoleh majoriti 2,183 undi dalam pertandingan tiga penjuru. -Oleh M. HERMAN HAMID