14 APR : Polis hari ini memanggil pereka grafik Fahmi Reza untuk memberi keterangan selepas berkongsi lukisan seekor beruk memakai tengkolok dan berkeris seperti pakaian bangsawan di media sosial.
Menerusi catatan di Twitternya, Fahmi memaklumkan, pihak polis menghubunginya supaya tampil ke balai polis untuk disiasat petang ini tidak sampai 24 jam beliau memuat naik potret lukisan berkenaan.
“Aku sudah terima panggilan telefon dari Bukit Aman. Tak sampai 15 jam polis dah buka kertas siasatan bawah Akta Hasutan kerana grafik satira #beruk yang aku ‘post’ malam tadi.
“Polis minta datang balai untuk disoal siasat petang ni juga. Kita jumpa kejap lagi PDRM,” katanya.
Fahmi yang sebelum ini pernah mencetuskan beberapa kontroversi menerusi karyanya, sekali lagi menarik perhatian ramai dengan memuat naik lukisan berkenaan malam tadi melalui Twitter miliknya.