15 APR : Keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang sebulat suara mencadangkan agar YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 akan datang wajib diterima oleh semua pemimpin dan ahli-ahli UMNO.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, sekarang bukan lagi masanya untuk kepimpinan dan ahli UMNO untuk berbalah , berpecah , mempertikaikan antara satu sama lain, menebuk kapal daripada dalam dan mencipta persepsi negatif di kalangan ahli parti.
“Keputusan yang dibuat ini seharusnya wajib diterima oleh keluarga besar UMNO di atas semangat pengukuhan, penyatuan, perdamaian, perpaduan dan kekuatan parti dalam menuju kearah PRU15.
“Kita perlu ingat bahawa musuh utama kita ialah Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional , bukan sesama kita di dalam UMNO dan Barisan Nasional.
“Ini adalah masanya untuk kita bergerak sebagai satu pasukan dan terus mendekati rakyat terutama pengundi-pengundi muda kali pertama sebelum menghadapi PRU ke 15,” tegasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Manakala Naib Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Shahrul Fadhel B Mohd Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata, akar umbi Pemuda UMNO di Kelantan menyokong penuh keputusan MKT untuk meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon PM bagi menghadapi PRU ke 15 akan datang.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Krian Kerian berkata, keputusan yang dibuat oleh MKT UMNO itu dilihat amat bijak dengan menilai kehendak semasa rakyat di negara ini.
“Sesungguhnya cabaran Politik baharu sekarang amat dinamik, memerlukan setiap keputusan itu berpaksi kepada kehendak rakyat, dan rakyat menilai setiap gerak geri parti, dan medan PRU 15 nanti adalah satu medan yang diluar dari kebiasaan mana mana pilihanraya umum sebelum ini.
“Saya yakin sehingga sekarang, PH mahupun PN masih lagi bergelut untuk menamakan calon PM mereka, kerana mereka sendiri sudah tidak mampu untuk menstabilkan pakatan mereka, dan mana mungkin nanti mampu menstabilkan kehidupan rakyat.
“Keputusan yang dibuat MKT itu tepat memandangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah pemimpin yang terbukti berjaya memimpin kabinet untuk mengharungi cabaran getir politik baharu yang berbagai rencam dan berjaya membawa kestabilan kepada Kerajaan pasca pandemik Covid-19,” ujarnya.