15 APR : Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan pendakwaan bahawa tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi (YAB) itu digunakan untuk membantu orang miskin dan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa YAB telah menyumbang lebih RM109 juta untuk kerja-kerja kebajikan.
Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, sumbangan RM109 juta itu merupakan sebahagian sahaja kerana ada lagi kerja kebajikan yang tidak disenaraikan kerana beliau memegang prinsip ‘tangan kanan memberi, tangan kiri tidak perlu mengetahui’.
“Di hari Jumaat ini, saya tidak mahu menyanggah sebarang pernyataan mana-mana pihak, namun apabila senarai D5 dan D6 (senarai kerja kebajikan) dikemukakan pada Yang Arif, saya beri pengakuan bahawa penyataan tiada satu sen diberi Yayasan Akalbudi untuk menolong orang miskin adalah tidak benar,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
Pada 18 Nov 2019, pihak pendakwaan dalam kenyataan pembukaannya menyatakan akan membuktikan Ahmad Zahid telah menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi dan tiada satu sen pun daripada wang tersebut telah digunakan untuk manfaat golongan miskin.
Ahmad Zahid berkata, beliau hanya mahu keadilan diberikan kepadanya kerana tindakannya itu adalah untuk kebaikan.
“Wang (Yayasan Akalbudi) daripada sumber saya sendiri, pendapatan saya sendiri, elaun saya sendiri, perniagaan saya sendiri. Saya masukkan (dana) dengan tujuan hati yang baik dengan yayasan yang saya buat sendiri. Adakah ini merupakan sesuatu yang harus dikenakan (tindakan) diaibkan, dimalukan dan dizalimi kepada saya?” tegasnya.
Ahmad Zahid bagaimanapun mengakui terdapat kesilapan teknikal disebabkan kelemahan beberapa pihak terutamanya setiausaha syarikat YAB.
“Ada kelemahan teknikal tapi daripada segi tujuan dan amalan yang saya lakukan, ia hanyalah untuk kebaikan kerana Allah SWT semata-mata,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, beliau telah melantik Idris Kechek dan Mahinder Kaur sebagai setiausaha syarikat bagi Yayasan Akalbudi, di mana Idris yang memegang jawatan itu selama 10 tahun sejak 1997, tidak pernah mengemas kini dan menghantar laporan akaun (yayasan) kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).