16 APR: Kerajaan kekal memberikan subsidi haji kepada semua jemaah tahun ini walaupun ada cadangan supaya ia diberikan secara bersasar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata setakat ini kerajaan kekal dengan keputusan berkenaan tanpa memilih golongan tertentu.
“Kita ada formula tertentu yang akan digunakan berkait dengan perkara ini.
“Ini (subsidi) bukan duit kerajaan, sebaliknya subsidi itu diambil daripada keuntungan pendeposit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pembangunan Keluarga Mawaddah Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi.
Media sebelum ini melaporkan, Tabung Haji (TH) disaran supaya melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar dengan keutamaan kepada golongan B40.
Ini kerana, dengan mengambil kira kos seorang jemaah muassasah dijangka meningkat hingga RM25,000 dan bayaran jemaah RM9,980, subsidi yang ditanggung TH amat besar.
Mengulas lanjut, Idris berkata, berapa jumlah jemaah perlu bayar untuk kos haji berkenaan akan diumumkan selepas mendapat kuota haji daripada kerajaan Arab Saudi.