18 APR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerima hampir 60,000 permohonan program PerantiSiswa Keluarga Malaysia membabitkan pelajar di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata terbaru pihaknya turut mendapat permohonan daripada pelajar Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan sedang sedang menimbang dan mengkaji permohonan itu.
“Oleh kerana ada permohonan saya akan buat kajian kebolehlaksanaan.
“Selain itu ada juga permohonan daripada lepasan ijazah dan kes tertentu seperti pelajar yang terkesan akibat banjir, rumah terbakar, kemalangan dan sebagainya juga akan dipertimbangkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia di Melaka, malam tadi.
Annuar berkata, agihan peranti kepada pelajar ijazah dan diploma di institusi pengajian tinggi awam dan swasta diikuti pelajar di politeknik akan dibuat bermula Jun nanti.
“Selain itu kita juga akan bekalkan peranti kepada pelajar di Kolej Komuniti bagi membantu anak-anak kita dari keluarga miskin,” katanya lagi.
Dalam pada itu beliau berkata, kementerian bercadang menambah tablet secara berperingkat bagi kegunaan rakyat di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang diwujudkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, beliau mahu PEDi ditadbir urus dengan baik oleh Lembaga Pengelola yang dilantik bagi memasyarakatkan ekonomi digital kepada masyarakat.